(لَيْسَ كَمِثْلِهِ شَيْءٌ)LAISA KAMITSLIHI SYAIUN

لَيْسَ كَمِثْلِهِ شَيْءٌ LAISA KAMITSLIHI SYAIUN

Selasa, 19 Januari 2016

Hukum Akal Dan Hukum Adat Dalam Kehidupan Seharian

Hukum Akal Dan Hukum Adat Dalam Kehidupan Seharian

Sebelum terjun ke fokus utama isu yang ingin diketengahkan eloklah memahami dahulu apakah itu hukum adat dan hukum akal.

Berikut adalah diambil dari kitab Aqidatun Najin, karya Syeikh Zainul 'Abidin bin Muhammad al-Fathoni dan kitab Risalah at-Tauhid, karya Abdul Ghani Yahya dan Umar Yusuf. InsyaAllah, semoga mendapat manfaatnya.


Hukum Akal.

Takrif hukum akal ialah menetapkan sesuatu atau menafikan sesuatu tanpa berkehendak untuk perlu dicuba.
Hukum akal terbahagi pada tiga iaitu :

Pertama  : Disebut wajib 'aqli, iaitu perkara yang tiada diterima akal akan tiadanya, hakikatnya mesti menerima ada. Contohnya bapa lebih tua daripada anak.
Dan wajib 'aqli terbahagi dua:

1 - Wajib 'Aqli Dharuri (senang mudah) iatiu menghukumkan sesuatu itu tetap adanya dengan tiada berkehendak kepada bahasan (penerangan lebih lanjut) dan mendirikan kenyataan-kenyataan seperti menghukumkan bapa itu lebih tua daripada anak.

2 - Wajib 'Aqli Nazhari iaitu sesuatu menghukumkan suatu itu tetap adanya dengan berkehendak kepada fikiran dan bahasan (penerangan lebih lanjut) serta mendatangkan dalil-dalil atas ketetapan hukumnya seperti menghukumkan wajib wujud Tuhan yang menjadikan alam ini, maka tidak senang menghukumkan wajib wujud Tuhan itu melainkan diadakan bahasan dengan mendirikan dalil.
Kedua  : Disebut mustahil 'aqli, iaitu perkara yang tiada menerima aqal akan adanya, hakikatnya mesti tiada. Contohnya anak lebih tua daripada bapa.

Dan mustahil 'aqli itu terbahagi kepada dua :
1 - Mustahil 'Aqli Dharuri iatiu menghukumkan sesuatu itu tetap tiadanya dengan tiada berkehendak kepada bahasan (penerangan lebih lanjut) dan mendirikan kenyataan-kenyataan seperti menghukumkan anak lebih tua daripada bapa.

2 - Mustahil 'Aqli Nazhari iaitu sesuatu menghukumkan suatu itu tetap tiadanya dengan berkehendak kepada fikiran dan bahasan (penerangan lebih lanjut) serta mendatangkan dalil-dalil atas ketetapan hukumnya seperti menghukumkan tiada terima 'aqal ada yang sekutu bagi Allah Ta'ala, maka tidak senang 'aqal menghukumkan mustahil ada syarik (sekutu) bagi Allah Ta'ala itu melainkan dengan diadakan bahasan dengan mendirikan dalil.
Ketiga : Disebut harus 'aqli, iaitu perkara yang diterima aqal akan adanya dan tiadanya dengan jalan berganti-ganti, maka hakikatnya boleh menerima ada atau tiada seperti keadaan pinggan itu ada kalanya boleh ia bergerak atau diam.

Dan harus 'Aqli itu terbahagi kepada dua :

1 - Harus 'Aqli Dharuri iaitu menghukumkan sesuatu boleh terima ada dan tiada secara jalan berganti-ganti dengan tidak berkehendakkan bahasan (penerangan lebih lanjut) dan mendirikan dalil seperti menghukumkan keadaan pinggan itu ada kalanya ia bergerak atau diam.
2 - Harus 'Aqli Nazhari iaitu menghukumkan sesuatu boleh dijadikan atau tiada boleh dijadikan dengan berkehendak kepada bahasan dan mendatangkan dalil-dalil seperti memberi Tuhan orang Islam yang tiada beramal itu pahala, maka tidak dengan senang 'aqal menghukumkan hal itu harus melainkan dengan bahasan dan dalil-dalil yang menunjukkan harus pada Tuhan memperlakukan seperti itu.

Cara Mudah Untuk Membezakan Wajib Pada Akal Dan Mustahil Pada Akal.
Memandangkan ada sahabat yang masih sukar untuk membezakan kedua-dua ini, marilah saya kongsikan cara mudah untuk membezakannya.

Contohnya satu ditambah dengan satu maka dapatlah jawapanya dua (1 + 1 = 2). Maka inilah dipanggil wajib 'aqal, kerana ia sudah menetapkan satu ditambah satu menjadi dua. Berbalik pada makna di atas, iaitu wajib akal itu menerima adanya. Jadi menerima adanya 1 + 1 = 2 itu wajib pada akal. Jika mustahil pada akal itu adalah menerima tiadanya. Maka menerima tiadanya 1 + 1 = 3 adalah mustahil pada akal. Kerana wajibnya sudah menetapkan adanya, maka mustahil menetapkan yang tiadanya. Harap dapat memahamkannya.

Hukum Adat

Dan hukum adat itu iaitu mengisbatkan suatu pekerjaan bagi suatu pekerjaan atau menafikan dia daripadanya dengan wasitah dicuba-cubakan dia dengan berulang-ulang dan ia terbahagi kepada empat :

Pertama  : Ditambat wujud dengan wujud seperti ditambatkan wujud kenyang kerana wujud makan.

Kedua  : Ditambat 'adam (tiada wujud) dengan 'adam seperti ditambatkan tiada kenyang kerana tiada makan.

Ketiga : Ditambat wujud dengan 'adam seperti ada sejuk kerana tiada selimut.

Keempat  : Ditambat 'adam dengan wujud seperti ditambatkan tiada hangus sebab wujud air.
Beza Hukum Akal Dan Hukum Adat.
Persamaan kedua-duanya adalah ia adalah sesuatu yang diketahui umum serta asas kefahaman orang ramai dan perbezaan kedua-duanya adalah ia dicontohkan dengan pada awal kajian. Dari segi hukum akal ia seperti berandaian di awal kajian contohnya anggapan mungkin sahaja negara Malaysia akan mencapai negara maju pada tahun 2020 dan mungkin sahaja tidak, manakala hukum adat andaiannya pada awal kajian seperti sudah tepat pada ramalannya kerana mungkin dinilai dari kebiasaan, contohnya mendung akan membawa pada hujan.

Jika hukum akal menetapkan negara Malaysia akan mencapai negara maju pada tahun 2020, maka wajib akal menerima adanya negara Malaysia akan maju pada tahun 2020 dan mustahil akal untuk menerima adanya dengan menerima adanya seperti negara Malaysia tidak akan mencapai maju pada tahun 2020.

Namun, jika mahu mengatakan sesuatu itu berdasarkan hukum adat, maka perlulah ditambatkan empat perkara itu seperti yang disebutkan di atas kerana ia perkara telah dicuba dan ia sentiasa berlaku dalam kebiasaan. Maka, seharusnya untuk berkata sesuatu itu dengan hukum adat haruslah dirujuk pada empat perkara itu, contohnya pinggan itu pecah kerana jatuh daripada meja (di sini wujudnya tambat dengan wujud dengan wujud iaitu adanya pecah kerana adanya jatuh). Dan jika mahu mengatakan mengetahui bahawa sesuatu itu dikatakan berdasarkan hukum akal, ia tidak ditambatkan pada empat perkara di atas (namun, hal ini perlu diteliti kerana kebanyakannya akan bertemu dengan perkataan atau statement yang berdasarkan hukum adat. Wallahua'lam).

Harus Pada Akal Dan Mustahil Pada Adat.
Tentang hal yang mencarik adat seperti mukjizat, karamah dan istidraj itu semua adalah harus bagi akal ia berlaku tetapi mustahil bagi adat. Dikatakan mustahil bagi adat kerana misalannya Nabi Isa AS menghidupkan orang yang telah meninggal dunia, maka ia tidak dapat ditambatkan empat perkara yang di atas. Bahkan ia menyalahi kebiasaan orang, maka sebab itulah dihukumkan mustahil bagi adat. Wallahua'lam.

Hukum Akal dan Hukum Adat Dalam Kehidupan Seharian
Pernah tak kalian dituduh syirik kerana mengatakan (misalannya), "saya kenyang sebab makan burger tadi", "api ini membakar rumah" atau "pinggan ini pecah kerana jatuh dari meja" kerana alasannya "kenyang perut bukan sebab kenyang, "terbakar rumah bukan sebab api" atau "pecah pinggan bukan sebab jatuh", tetapi semuanya adalah Allah yang memberi kenyang, membakar rumah dan memecahkan pinggan.
Sejauh mana benarnya perkataan itu? Sebenarnya perkataan itu benar, namun itu perkataan yang tidak keberatan saya katakan tidak memahami konsep sebab musabab dan pembahagian hukum akal dan hukum adat yang disusun oleh ulama' usuluddin pada awal2 perbahasan. Jawapan atau sebuah statement terburu-buru dan cepat melatah.
Mahu atau tidak mengatakan najis yang ada di tanah itu sebenarnya daripada Allah jua? Tentu tidak! Akhirnya kita jua akan isbatkan najis itu daripada kucing (misalannya). Demi mengelakkan bibit orang yang mengatakan kebiadapan terhadap Allah kerana menisbatkan sesuatu yang buruk dan kotor untuk-Nya, maka di sinilah peranan sebab musabab.
Berbalik kepada penghukuman syirik kepada mereka yang mengatakan api itu membakar, burger itu mengenyangkan dan pecah pinggan kerana jatuh, lemparan ini sangatlah berat walaupun benar. Namun, tidak adil untuk mengatakan kepada orang sebegitu kerana menghukumkan orang syirik sudah semestinya mengatakan orang lain kufur kerana salah i'tiqad atas sebab api itu membakar. Ini sangatlah keras dan berat yang bakal menghukumkan sesuatu yang bukan haknya. Sepatutnya perhatikan dengan cermat untuk membuat penilaian dari segi hukum apakah ia mengatakan sebegitu, barulah tidak sewenang-wenangnya mengatakan orang lain adalah syirik.

Inilah hikmahnya diwujudkan hukum akal dan hukum adat supaya faham bagaimana untuk disesuaikan dan diseimbangkan menurut keadaan dan situasi. Harga minyak naik kerana ketetapan Allah itu adalah benar, namun ia boleh menjadi kesalahan kerana bukan sahaja membawa kepada faham Jabbariyyah, tetapi akan jua menimbulkan ketidakstabilan dalam hidup beragama. Contoh yang bakal merosakkan adalah zina yang berleluasa dalam kalangan masyarakat adalah kerana ketetapan Allah atau peperangan yang meletus di setiap penjuru dunia adalah kerana ketetapan Allah? Mampukah kalian menerima sebegitu?
Maka, hayatilah sebenar-benarnya hukum adat dan hukum akal ini dalam kehidupan seharian!

Tiada ulasan:

Catat Ulasan